ump-canseleri

Tentang Kami

Universiti Malaysia Pahang (UMP) adalah sebuah universiti teknikal yang ditubuhkan pada tahun 2002. UMP menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang menawarkan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) beraras tinggi.
Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan universiti terbaik Penyelidikan dan inovasi (Non RU) UMP dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.
Program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia.
Dalam bidang penyelidikan pula, universiti memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.

UMP Pekan

Kampus UMP di Pekan mula beroperasi di Kuala Pahang, Pekan pada 27 Julai 2009. Kampus seluas 642 ekar ini boleh menampung sehingga 10,000 orang pelajar dan 2,000 orang staf. 

Pada masa ini, ia menempatkan tiga buah fakulti dan sebuah pusat iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik dan Pusat Bahasa Moden.

 

UMP Kampus Gambang

UMP beroperasi di kampus yang terletak di Gambang, Kuantan. Kampus yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat Bandar Kuantan ini mempunyai keluasan 126 ekar persegi yang boleh menempatkan 5,000 orang pelajar. Kampus UMP ini terletak di lokasi strategik berhampiran dengan Lebuh Raya Pantai Timur, zon perindustrian kimia, petrokimia, pembuatan, automotif dan juga bioteknologi bagi Negeri Pahang Darul Makmur. 

Pada masa ini, ia menempatkan lima buah fakulti, sebuah institut dan dua buah pusat iaitu iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses, Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Fakulti Pengurusan Industri, Fakulti Komputeran, Institut Pengajian Siswazah, Pusat Sains Matematik dan Pusat Sains Kemanusiaan.