Profil Universiti
Latar Belakang Institusi
Universiti Malaysia Pahang (UMP) dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM). Ianya telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 16 Februari 2002. UMP adalah sebuah Universiti Teknikal yang berteraskan kompetensi dengan pengkhususan dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi.UMP terletak di negeri Pahang Darul Makmur, negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kawasan hujan tropika yang luas dan dianugerahkan dengan pelbagai sumber asli dan biodiversiti. UMP memberi penumpuan dalam dua bidang utama iaitu Industri Kimia, Petrokimia dan Bioteknologi serta Industri Automotif dan Pembuatan.
Pada masa ini, UMP beroperasi di bandar Gambang, kira-kira 30 kilometer daripada ibu negeri Pahang, Kuantan. Dihubungkan oleh Lebuh Raya Pantai Timur. Perjalanan ke Universiti ini dari Kuala Lumpur menggunakan kenderaan hanya mengambil masa dua jam setengah. Kampus sementara UMP yang berkelusan 54.1 ekar dapat menampung kira-kira 5,000 orang pelajar. Kampus Tetap UMP yang terletak di Kuala Pahang, Pekan , Pahang masih dalam proses pembinaan. Fasa pertama kampus tetap tersebut dijangka akan siap dan sedia untuk diduduki pada tahun 2009. Apabila siap sepenuhnya nanti, kampus tersebut yang berkeluasan 1,842.4 ekar mampu menampung seramai 10,000 orang pelajar dan 2,000 staf.
Mengapa anda harus memilih UMP/Keunikan UMP
Universiti Malaysia Pahang menawarkan program-program pendidikan dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi yang menitikberatkan latihan pratikal di samping ilmu pengetahuan. Penekanan ini dilihat mampu melahirkan jurutera yang kompeten dan memenuhi keperluan industri masa kini.Kurikulum kami berorientasikan aplikasi yang mengintegrasikan teori dan amali didalam konsep ’teaching factory’. Ia menekankan kepada pembelajaran melalui pengalaman dan tindakan (experiential and action learning), gerak kerja dan kebolehan menyelesaikan masalah. Kesemua elemen ini menyediakan para graduan UMP untuk menghadapi suasana sebenar ditempat kerja kelak.
Kampus UMP terletak di kawasan yang strategik di Lingkaran Perindustrian Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kawasan ini menempatkan banyak organisasi dan syarikat multinasional dalam bidang Kimia, Petrokimia, pembuatan, automotif dan bioteknologi. Oleh sebab itu, pelajar UMP sentiasa terdedah kepada perkembangan terkini berkenaan dengan kejuruteraan dan teknologi.
Universiti ini memberi penumpuan kepada ’applied research’dan projek-projek industri bagi memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajarannya. Ia juga menggalakkan pengkomersilan hasil produk penyelidikannya seterusnya memberikan pendedahan yang berguna kepada pelajarnya tentang aktiviti penyelidikan dan pembangunan di industri yang terlibat.
Kampus UMP dilengkapi dengan kemudahan ICT yang terkini termasuklah jaluran lebar internet tanpa wayar yang membantu menyokong aktiviti e-learning dan e-management yang telah diamalkan di Universiti ini sejak awal penubuhannya.
VISI, MISI, FALSAFAH & NILAI TERAS
Visi
Menjadi universiti teknikal berteraskan kompetensi bertaraf dunia.Misi
Kami menyediakan pendidikan teknikal berkualiti tinggi melangkaui kehendak pihak berkepentingan dengan menawarkan program akademik yang cemerlang melalui persekitaran kondusif bagi menggalakkan kreativiti dan inovasiFalsafah
Ilmu adalah amanah Allah kepada manusia, sebagai khalifah di muka bumi untuk dimanfaatkan. Penekanan terhadap ilmu gunaan dan penghayatannya yang berteraskan kepada nilai-nilai murni mampu melahirkan insan yang menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran sejagatNilai Teras
-Hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta.-Teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati.
-Kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana.
-Cekal dalam menghadapi cabaran.
-Proaktif dalam tindakan.
RASIONAL LOGO
LAGU UMP
Lirik Lagu
Maju Gemilang (Lagu Rasmi UMP)Universiti Malaysia Pahang
Taman Ilmuan Berkeunggulan
Menjana Insan Yang Cemerlang
Bagi Agama Bangsa dan Negara
Ilmu Yang Diterokai
Pasti Jadi Amalan
Demi Kemajuan Pertiwi
Bekal Masa Hadapan
UMP Menjulang Nama
Wadah Pendidikan Bangsa
UMP Megah dan Bangga
Lahirkan Cendekiawan Mulia
Universiti Malaysia Pahang
Terbilang Meraih Kejayaan
Meluaskan Wawasan Ilmu dan Kemahiran
Maju Gemilang Antarabangsa
Lagu/Seni Kata: D. Hermantoro




