-A A +A

Soalan Lazim


1. Bilakah UMP mula beroperasi?

UMP merupakan sebuah universiti teknikal yang ditubuhkan pada tahun 2002. Ianya merupakan IPTA ke 16 yang diwartakan pada 16 Februari 2002. Atas arahan Kementerian Pendidikan, kampus UTM-KCP telah diambil alih dan dijadikan kampus sementara Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM) pada Mei 2002 dan memulakan Sesi Akademik 2002/2003 dengan mengambil pelajar perintis seramai 313 orang pelajar pada 30 Mei 2002.Pada 20 September 2006, Jemaah Menteri telah meluluskan pertukaran nama KUKTEM kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan mengekalkan bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen mengikut matlamat penubuhannya iaitu mencapai 10,000 hingga 15,000 orang pelajar. UMP turut mengekalkan bidang fokus sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

2. Dimanakah lokasi UMP?

UMP terletak di lokasi strategik berhampiran dengan Lebuh Raya Pantai Timur, zon perindustrian kimia, petrokimia, pembuatan, automotif dan juga bioteknologi bagi negeri Pahang Darul Makmur. Ianya terletak di daerah Gambang, 30 km dari bandar Kuantan, lebih kurang 350 km dari KLIA seterusnya 10 km dari Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

3. Apakah kemudahan asas yang disediakan oleh UMP?

Di UMP kami menyediakan kemudahan prasarana yang sesuai sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam Malaysia. Kami menyediakan kemudahan asas seperti kompleks kediaman pelajar, perpustakaan, pusat kesihatan pelajar, pusat kegiatan pelajar, dewan dan bilik-bilik kuliah, makmal yang berkonsepkan kilang, kafetaria dan kemudahan sukan dan rekreasi. Layarilah web kami bagi mendapatkan maklumat tentang prasarana tersebut.

4. Apakah matlamat UMP dalam mendidik para pelajar?

UMP ditubuhkan bagi menerajui pembangunan modal insan dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi. Bagi mencapai tujuan ini, empat Produk Teras telah ditetapkan iaitu, Pengetahuan Teknikal, Kemahiran Teknikal, Soft Skills dan Kemahiran Keusahawanan. Nisbah teori berbanding kemahiran praktikal yang ditawarkan di universiti ini ialah 60:40. Di samping latihan industri, para pelajar didedahkan juga cara menggunakan alat simulasi dan alat bantuan mengajar. Konsep praktis ini diperkukuhkan lagi dengan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar (student centered learning). UMP juga berazam melahirkan graduan yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

5. Apakah kursus-kursus yang ditawarkan oleh UMP?

UMP kini menawarkan kursus-kursus di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Lanjutan. Jenis-jenis kursus yang ditawarkan ada disenaraikan di menu Prasiswazah dan Pascasiswazah.

6. Bagaimana UMP menguruskan semua hal-hal pelajar?

Secara amnya semua hal ehwal pelajar diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni. Bahagian pengambilan pelajar pula diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Jabatan Pendaftar termasuk menyediakan Kad Pelajar, hal-hal permohonan, berhenti, tangguh pengajian, pertukaran kursus.